Barang keperluan di kawasan PKPD Kedah mencukupi – Ismail Sabri

Barang keperluan di kawasan PKPD Kedah mencukupi – Ismail Sabri

Nurul Huda Abhar

[Covid-19]
Bekalan makanan di kawasan yang terlibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kedah masih mencukupi dan kedai menjual barangan asas dibuka seperti biasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penduduk empat mukim di Kedah yang berada dalam kawasan PKPD bebas melakukan aktiviti harian, tidak seperti PKP terdahulu apabila orang awam tidak dibenar keluar rumah.

“Mereka masih bebas keluar untuk mencari barangan dan makanan. Apabila sudah melakukan ujian swab, mereka boleh keluar dari kampung yang telah dikenakan ‘lockdown’.

“Kedai menjual keperluan asas dibuka seperti biasa, begitu juga restoran dan kedai runcit. Cuma saya percaya restoran tidak dibuka untuk makan di premis tetapi berbungkus.” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan tiada isu berkaitan ketiadaan bekalan makanan di kawasan berkenaan kerana orang awam bebas keluar mendapatkan bekalan.

Namun begitu, beliau tidak menolak jika timbul isu kehabisan barangan keperluan asas di kedai dan perkara itu perlu segera dimaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Berbeza dengan PKP yang langsung tidak boleh keluar rumah sehingga perlu menghantar makanan ke rumah, kali ini mereka boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan.

“Cuma kalau timbul isu berkaitan banyak produk habis di kedai di kawasan tersebut, saya akan maklumkan kepada KDPNHEP supaya boleh ditambah mana-mana kekurangan yang melibatkan keperluan rakyat kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata isu penyediaan menu yang tidak berkualiti di hotel yang dijadikan pusat kuarantin telah diselesaikan.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedia maklum berkaitan hal tersebut dan menukar menu asal kepada menu lebih sihat untuk orang awam yang menjalani kuarantin di tempat berkenaan.