Cadangan swastakan pengurusan sisa pepejal di Perak, ramai akan hilang kerja

Cadangan swastakan pengurusan sisa pepejal di Perak, ramai akan hilang kerja

Nurul Huda Abhar

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) membantah cadangan penswastaan pengurusan sisa pepejal di Perak.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata ketika ini pengurusan sisa pepejal dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah masing-masing.

“Perkara ini telah telah diputuskan oleh ANULAE semasa Mesyuarat Jawatankuasa Agung ANULAE pagi tadi.

“Kami dimaklumkan majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan pengurusan sisa pepejal antara 15 PBT di Perak dengan syarikat swasta yang bakal mengambil alih, dijadual berlangsung semalam telah ditunda ke tarikh yang belum lagi dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azih, kerajaan Perak perlu menilai semula cadangan penswastaan tersebut kerana ia bakal memberi kesan kepada lebih 3,500 pekerja berkhidmat di PBT yang mungkin kehilangan pekerjaan.

“ANULAE tidak mahu pekerja di PBT di Perak mengalami nasib sama seperti di Kedah, Perlis dan Selangor sebelum ini apabila pengurusan sisa pepejal diswastakan.

“Ketika itu ada pekerja PBT yang diberhentikan perkhidmatan dan sebahagian mereka dipindahkan ke syarikat swasta yang baru, dan akhirnya digantikan dengan pekerja warga asing yang gajinya lebih rendah,” katanya lagi.

Beliau yakin PBT mampu mengurus sisa-sisa pepejal sebaik mungkin tanpa dirujuk kepada penswastaan dan kerajaan negeri perlu menyalurkan peruntukan kepada PBT kerana perkhidmatan mereka lebih baik daripada syarikat konsesi.

Turut mengambil kira situasi penularan wabak Covid-19, Azih berharap cadangan penswastaan itu dikaji semula agar pekerja tidak berdepan dengan masalah ditamatkan perkhidmatan kelak.