DPMM gesa rekod peminjam tak masuk CCRIS, CTOS

DPMM gesa rekod peminjam tak masuk CCRIS, CTOS

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa semua rekod peminjam yang bermasalah akibat Covid-19, tidak dimasukkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

Menerusi kenyataan hari ini, DPMM berkata ia perlu dilaksanakan sepanjang program Penstrukturan dan Penjadualan semula (R&R) dilaksanakan kerajaan, termasuk peminjam yang berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menurut DPMM, ia sangat penting bagi meringankan beban peminjam yang bermasalah melalui fasa pemulihan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan mereka.

“Sekiranya rekod CCRIS dan CTOS ini masih disenarai seperti biasa, dikhuatiri mereka akan menghadapi masalah untuk membuat pinjaman pemulihan perniagaan di masa hadapan terutama perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS),” katanya.

DPMM turut menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang undang), Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan memberi pelepasan automatik kepada penghutang selepas tiga tahun diislytihar muflis.

“Ini secara tidak langsung memberi nafas baru dan membantu golongan muflis untuk bangkit semula lebih lebih lagi semasa negara sedang mengalami kelembapan ekonomi sekarang ini,” katanya.

DPMM juga mencadangkan kerajaan menyegerakan pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Covid-19 dan mendapatkan penyertaan awam dalam menyediakan dokumen tersebut.

Katanya, sungguhpun pandemik telah lama melanda seluruh dunia, kelewatan meluluskan RUU itu dikhuatiri membawa banyak implikasi undang-undang kepada urusan perniagaan di Malaysia.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik.

DPMM berkata, isu berkaitan moratorium antara dibincangkan delegasinya dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCClM) semasa penemuan bersama Perdana Menteri di Parlimen pada 20 Julai lalu.