Guan Eng dipanggil SPRM malam ini

Guan Eng dipanggil SPRM malam ini

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng malam ini dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya malam ini.

Sebuah Velfire putih dan kereta Mercedes Benz membawa Ahli Parlimen Bagan itu dilihat memasuki ibu pejabat SPRM jam 9.10 malam.

Difahamkan, ia berkaitan skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion ketika beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Wakil media telah berkumpul di luar ibu pejabat SPRM sebaik menerima maklumat berhubung perkara itu.

Menurut sumber, Guan Eng dipanggil berkaitan kes terowong dasar laut serta tiga lebuh raya, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ‘bermalam’ di ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Guan Eng dipanggil tiga kali ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa individu dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang dirancang ketika Guan Eng menjadi ketua menteri Pulau Pinang, menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.