Hisap ‘vape’ dalam Dewan Rakyat, KKM denda Hishammuddin

Hisap ‘vape’ dalam Dewan Rakyat, KKM denda Hishammuddin

Nurul Huda Abhar

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikenakan denda oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan insiden beliau ‘tertangkap’ menghisap rokok elektronik atau vape dalam Dewan Rakyat.

Rakaman video yang tular hari ini mendapat kecaman masyarakat yang rata-rata menganggap tindakan beliau tidak bertanggungjawab.

“Berhubung isu membabitkan saya hari ini, saya mengaku ia memang kesalahan saya. Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia.

“Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini. Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin turut menjelaskan pihak KKM telah mengenakan denda atas tindakannya menghisap rokok elektronik atau ‘vape’ dalam Dewan Rakyat hari ini.

“KKM telah mengenakan denda. Saya akan bayar. Terima kasih semua atas teguran dan nasihat,” katanya lagi.

Menerusi rakaman video itu, Hishammuddin dilihat mengangkat sedikit pelitup muka yang dipakai sebelum menghisap rokok elektronik dan menghembus asap di dalam pelitup muka tersebut.