Kita jadi negara perasuah jika anggap rasuah jenayah ringan – Dr M

Kita jadi negara perasuah jika anggap rasuah jenayah ringan – Dr M

Orang yang ingin merebut kuasa untuk kepentingan diri sendiri melihat peluang menjadi wakil rakyat sebagai cara untuk mendapat kuasa kerajaan melalui rasuah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ini kerana rasuah biasanya melibatkan khidmat kerajaan iaitu segala urusan memerlukan kelulusan kerajaan.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata pengundi sepatutnya tidak mengundi seseorang calon jika mereka tahu calon itu tidak baik.

“Tetapi jika calon tidak baik menghulur wang, besar kemungkinan ramai pengundi ketepikan pentadbiran yang baik dan kemajuan negara.

“Mereka akan terima sogokan. Setelah menerima sogokan, mereka akan beri undi kepada penyogok. Lebih banyak wang yang didapati lebih bersedialah pengundi memberi undi kepada perasuah.

“Bagi calon yang berduit, sama ada duit sendiri atau yang dipinjam atau dicuri, ramailah yang akan sogok pengundi. Besarlah kemungkinan calon yang guna wang untuk sogok akan menang,” tulis.

Menurut Dr Mahathir dengan cara itu pencuri dan perasuah dapat mendirikan kerajaan dan mereka mungkin dibiayai orang tertentu yang merancang merebut kuasa kerajaan untuk kepentingan mereka.

Katanya, apabila kerajaan dikuasai oleh perasuah, kepentingan negara dan rakyat akan diketepikan.

“Jika rakyat menentang kerajaan perasuah ini, maka rakyat pun akan disogok dengan wang kerajaan. Demikian BR1M dicipta dan pelbagai pemberian wang percuma diadakan.

“Dalam masyarakat yang anggap rasuah sebagai jenayah kecil, kesediaan menerima sogokan akan menghilangkan tentangan terhadap kerajaan yang buruk.

“Dana untuk pengurusan dan pembangunan akan berkurangan kerana diguna untuk sogokan ini.

“Negara terpaksa hutang dan tanggung beban pembayaran dan faedah. Infrastruktur tidak dapat dibina dan taraf hidup rakyat akan menurun,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu negara perasuah tidak akan menarik pelabur dan peniaga kerana rasuah meningkat kos dan melewatkan kelulusan.

Seterusnya kata Dr Mahathir, tanpa pelaburan, peluang pekerjaan akan berkurangan, lalu kemiskinan bertambah dan negara tidak akan membangun.

“Kita sudah lihat apa yang berlaku apabila pengundi kita pilih kerana disogok dalam PRU. Tetapi mungkin kita fikir takkanlah negara akan jadi begitu buruk kerana kita terima sedikit sagu hati.

“Tak mungkinlah kita alami kemerosotan hanya kerana kita seorang terima rasuah. Percayalah jika kita anggap rasuah sebagai jenayah ringan, besar kemungkinan orang lain juga mempunyai sikap yang sama.

“Maka jadilah kita negara perasuah yang tidak mungkin berjaya,” katanya.