Luqman cakap Melayu dalam video pengenalan KV Kortrijk

Luqman cakap Melayu dalam video pengenalan KV Kortrijk

“Saya rasa teruja dan sangat bangga kerana tidak sabar mewakili KV Kortrijk.”

Demikian kata penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook rasmi kelab divisyen utama Belgium itu hari ini.

Video berdurasi satu minit 48 saat itu dimuat naik di media sosial kelab tersebut, tidak lama selepas Luqman sah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pasukan berkenaan.

Video pengenalan Luqman tersebut memaparkan seorang lelaki memakai ‘snow cap’ dan mafla pasukan sambil memperlihatkan sedutan aksi bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu beraksi bersama skuad remaja negara.

Turut kelihatan, seorang lelaki ‘mat saleh’ memakai pelitup muka dengan bendera Malaysia sebelum Luqman muncul di akhir video dengan memberikan ucapan ringkas dalam bahasa Melayu.

Tengah hari tadi, Luqman, anak kelahiran Kota Bharu, menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk dalam satu majlis di ibu negara yang turut dihadiri pemilik pasukan, Tan Sri Vincent Tan serta Duta Belgium, Pascal Gregoire.