Musa, 32 penyandang DUN fail semakan kehakiman

Musa, 32 penyandang DUN fail semakan kehakiman

[PRN Sabah] Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bersama 32 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyokongnya dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri akhir bulan lalu, memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah.

Semakan kehakiman itu difailkan firma guaman FT Ahmad and Co di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Isnin lalu dan dijadual didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Leornad Chin, esok.

Berdasarkan laporan The Star, semakan kehakiman itu bertujuan mendapatkan injunksi berhubung pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Juhar bagi meminta pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Peguam mewakili Musa dan 32 yang lain dijangka membangkitkan isu bahawa Juhar tidak membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 21(2) dan Perkara 7(1) berkaitan ketua menteri hilang sokongan majoriti.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Mohd Shafie, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Nama 33 orang yang memfailkan semakan kehakiman berkenaan ialah Tan Sri Musa Aman (Sungai Sibuga), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Julita Mojungki (Matunggong), Datuk Anita Baranting (Tandek), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan).

Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Kenny Chua (Inanam), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu).

Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan), Robert Tawik (Bingkor), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Bobbey Suan (Nabawan), Datuk James Ratib (Sugut).

Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Datuk Masing Banah (Kuamaut), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan dua penyandang Adun Dilantik iaitu Jaffari Waliam dan Ronnie Loh.

Peguam Besar negeri, Brenddon Keith Soh dijangka mewakili Yang di-Pertua Negeri dan kerajaan negeri.

Minggu lalu, Musa mendakwa mengumpul majoriti mudah dengan 33 daripada 65 kerusi selepas 13 wakil rakyat meninggalkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bagaimanapun, Yang di-Pertua Negeri meluluskan pembubaran DUN pada 30 Julai bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).