Pas tanding PRN Sabah, berapa kerusi belum tahu

Pas tanding PRN Sabah, berapa kerusi belum tahu

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah memberi gambaran parti itu akan bertanding beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, perincian berhubung perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa pusat parti itu, pertengahan bulan ini sebelum kata putus dibuat.

“Sebab itu jawapan saya baru ini kita belum muktamad lagi walaupun Sabah bersedia, tapi keputusan muktamad mesti dibuat di peringkat pusat.

“Saya percaya kita akan bertanding, cuma berapa kerusi tak tahu lagi,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Tambah Mohd Amar, pembentangan laporan oleh PAS Sabah adalah perkara biasa dan turut dilakukan negeri lain berkaitan situasi politik semasa.

Kandungan laporan tersebut, katanya, termasuk politik semasa, peluang, masalah serta potensi dan kemudian diperincikan lebih lanjut oleh Jabatan Pilihan Raya PAS.

“Kita akan buat keputusan di peringkat PAS Pusat dahulu, lepas itu baru kita selaraskan dengan kawan-kawan yang ada di Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai isu agihan kerusi di peringkat Muafakat Nasional, beliau berkata ia tidak dibincang dan diselesaikan di peringkat pusat.