PBS akui konsensus dengan rakan dalam PN penting

PBS akui konsensus dengan rakan dalam PN penting

Thaddius Unnip

[PRN Sabah]
Parti Bersatu Sabah (PBS) mengakui parti itu perlu mencapai kata sepakat dengan rakan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sehubungan itu menjelaskan walaupun pihaknya teruja bertanding menggunakan lambang sendiri, PBS sedia bekerjasama dengan rakan seperjuangan menentang musuh politik yang sama.

“Kita tidak berseorangan dalam perjuangan ini tetapi untuk menang pilihan raya, kita perlu bekerja dan tampil dengan konsensus dalam kalangan rakan politik kita iaitu Bersatu dan parti lain dalam PN.

“PBS perlu tahu kekuatan dan keupayaannya supaya tiada persoalan mengenai peluang kita untuk menang. Kita perlu yakin dengan sokongan akar umbi sebelum bertanding di kawasan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan timbalannya, Datuk Seri Radin Malleh pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti itu di Penampang, hari ini.

Radin sebelum ini mengumumkan parti itu mahu bertanding sebanyak 30 kerusi dan sedang dalam proses memuktamadkan senarai calon.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata pihaknya akan mengumumkan senarai calon yang merangkumi muka baharu, termasuk wanita tidak lama lagi.

“Harapan saya semua komited untuk bekerja dengan gigih bersama, berikan tenaga dan sokongan, bantu dalam setiap aspek bagi memastikan kemenangan di semua kerusi yang kita bertanding,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut menekankan usaha menambah keahlian parti, terutama pengundi muda dan meyakinkan mereka bahawa PBS masih sebuah parti pelbagai kaum yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah.

“Dengar luahan akar umbi dan orang muda. Ahli muda adalah pemimpin masa depan kita dan kita tidak perlu takut dengan mereka. Mereka akan menjadi pengganti kita, termasuk jawatan saya sebagai presiden,” katanya.