Pendedahan syor Tommy Thomas gamatkan dewan

Pendedahan syor Tommy Thomas gamatkan dewan

Fitri Nizam

[Parlimen] Pendedahan terbaharu mengenai surat bekas Peguam Negara, Tan Sri Thommy Thomas yang mengesyorkan kerajaan PH mencari penyelesaian di luar mahkamah berhubung tuntutan dana dan aset milik Malaysia daripada bank pelaburan global, Goldman Sachs, mengundang kekecohan.

Tony Pua Kiam Wee (DAP-Damansara) antara Ahli Parlimen pembangkang yang paling awal bangun sebelum mempersoalkan sama ada syor dalam surat berkenaan bertujuan untuk menerima tawaran balas dikemukakan Goldman Sachs, bernilai AS$1.75 bilion.

“Setahu saya, PH sudah pun tolak tawaran itu. Kedua, dalam kenyataan bekas Peguam Negara, beliau tidak menyebut bahawa kerajaan tidak patut buat penyelesaian luar mahkamah.

“Beliau sebut masa paling baik untuk buat penyelesaian luar mahkamah adalah selepas Goldman Sachs dibawa ke mahkamah dan pengarah mereka kena masuk ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan, itu berikan kita kelebihan paling maksimum untuk dapatkan tuntutan paling tertinggi.

“Dalam isu AS$1.4 bilion nilai aset yang dijamin pihak Goldman Sachs, mereka buat pengumuman di Bursa New York bahawa tidak akan keluarkan satu sen pun untuk membiayai jaminan itu, maksudnya AS$1.4 bilion akan terima walaupun tiada jaminan pun daripada Goldman Sachs,” katanya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika menjawab persoalan itu berkata kerajaan terdahulu mendaftarkan kes jenayah terhadap bank global itu dan 17 pengarahnya, namun sehingga kini tiada mana-mana pengurusan tertinggi Goldman Sachs dihadapkan ke mahkamah.

“Proses penyerahan pertuduhan berkenaan belum terlaksana, malah 17 pengarahnya harus perlu diekstradisi dan dibicarakan di negara ini sekiranya pendakwaan ingin dilakukan di Malaysia.

“Proses ini tidak pernah pun dilaksanakan semasa beliau (Tommy) menjadi Peguam Negara. Sekiranya proses ekstradisi ini dilakukan, ia pasti ditentang oleh 17 pengarah berkenaan, sekali gus tiada kepastian untuk mereka berjaya dibawa ke Malaysia.

“Pada masa sama, denda terhadap syarikat mungkin tidak mencukupi untuk menanggung liabiliti daripada bon yang akan matang pada 2023,” katanya.

Bercakap mengenai isu pemulangan aset AS$1.4 bilion dan dikatakan mendapat jaminan Goldman Sachs, Tengku Zafrul berkata, nilai aset dibekukan tidak semestinya diterima pada nilai sama seperti yang berlaku dalam perolehan semula kapal layar mewah, Aquanimity.

Berbanding harga pembelian AS$250 juta, beliau berkata, Malaysia hanya memperoleh semula separuh daripada nilai asal, iaitu AS$125 juta dan jumlah itu tidak ditolak kos pemulihan dan penyelenggaraan.

“Begitu juga dengan kes jet bombardier, bernilai AS$35.37 juta yang dirampas di Singapura dan dijual oleh pihak berkuasa negara itu dengan hanya AS$137,615 sehingga akhirnya Malaysia sekadar menerima AS$136,500.

“Ringkasnya, tiada kepastian kita akan dapat nilai penuh aset yang dibeku dan dirampas di seluruh dunia, justeru dalam penyelesaian ini, jumlah yang dipersetujui adalah jumlah sebenar yang akan diterima Malaysia. Bukan nilai yang diisytiharkan daripada aset disita,” katanya.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) kemudiannya bangun meminta jawapan sama ada Jemaah Menteri memberikan ‘restu’ terhadap keputusan menerima tawaran terkini daripada Goldman Sachs.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai utusan surat antara Peguam Negara (Tommy) dan Perdana Menteri (Dr Mahathir) kerana apabila satu penyelesaian penting, ia harus diluluskan Kabinet,” katanya.

Tengku Zafrul kemudian menjawab bahawa Kabinet memberikan kuasa kepada Peguam Negara dan pasukannya untuk mencari penyelesaian dalam rundingan itu.

Seperti tidak berpuas hati dengan pencerahan sedemikian, Guan Eng dengan nada keras berkata ia sesuatu yang luar biasa apabila transaksi sebesar ini diputuskan oleh satu dua orang.

“Ini sama dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah yang mana keputusan hanya dibuat oleh satu dua orang. Ini isu kebertanggungjawab dan ketelusan. Tidak boleh dibiarkan begitu saja,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sambil menekan butang untuk ‘membisukan’ mikrofon lain menggesa Guan Eng supaya duduk, malah memberikan amaran sebanyak dua kali untuk bekas Menteri Kewangan itu akur kepada arahan berkenaan bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan lanjut.

Mengutarakan penjelasan, Tengku Zafrul mengakui bahawa pihaknya memahami isu yang dibangkitkan itu mempunyai kaitan dengan prinsip urus tadbir sambil mempersoalkan keputusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang tidak dibawa ke Jemaah Menteri.

“Saya pun nak tanya juga, keputusan GST berkadar sifar ini tidak pernah pula pergi ke Kabinet?” katanya sekali gus menjadikan suasana di Dewan Rakyat kembali riuh.