PN tak laksana pilihan raya PBT

PN tak laksana pilihan raya PBT

Fitri Nizam

[Parlimen] Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, langkah untuk melaksanakan pilihan raya PBT tidak boleh dilaksanakan secara drastik, memandangkan masyarakat dan PBT masih tidak bersedia.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian mengambil langkah untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan.

“KPKT akan ambil langkah-langkah kecil untuk tingkatkan demokrasi di peringkat PBT, memandangkan kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya PBT.

“Ia juga satu yang saya lihat sebagai langkah drastik, memandangkan masyarakat kita tidak bersedia untuk laksanakan pilihan raya PBT,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bulan lalu, Zuraida memberitahu Dewan Rakyat bahawa kertas pilihan raya kerajaan tempatan akan dibentang pada pertengahan 2021 untuk persetujuan Kabinet.

Beliau berkata, kementeriannya sejak 2018 menyediakan kertas Kabinet dan menubuhkan dua jawatan kuasa berhubung perkara itu.

Katanya lagi, pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan belanja keseluruhan RM308 juta bagi 154 PBT atau RM2 juta bagi setiap PBT.

Namun Zuraida mengesahkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak setuju dengan cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, Zuraida berpendapat pilihan raya PBT sudah diadakan di “negara-negara dunia ketiga” seperti Rwanda dan Uganda, yang mewujudkan ahli majlis sangat berkemampuan.

“Kita tidak semestinya mengikut model mereka, tetapi jika ada pilihan raya kerajaan tempatan, standard dewan sama dengan menteri, dan mereka dapat berhujah di forum antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, idea pelaksanaan pilihan raya PBT itu turut mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen dari Umno, PAS dan GPS.