PRN Sabah: Istana Negeri tak pernah terima 33 SD dari Musa

PRN Sabah: Istana Negeri tak pernah terima 33 SD dari Musa

Thaddius Unnip

[PRN Sabah]
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah (SD) sokongan terhadap bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri, Abinan Asli, menjelaskan pihak Istana Negeri juga tidak pernah menerima permintaan sama ada secara rasmi atau tidak daripada Musa untuk berjumpa Juhar.

“Rombongan Tan Sri Musa Aman berserta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memihak kepadanya cuba masuk ke Istana Negeri secara paksa pada 30 Julai lalu lebih kurang jam 3.50 petang tanpa membuat permohonan secara rasmi dan telah disekat oleh pihak polis.

“Istana Negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan pihak Tan Sri Musa Aman memasuki kawasan istana, sebaliknya sekatan dibuat oleh polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Setelah mengambil kira suasana tegang pada masa itu dan memandangkan tiada keperluan bagi rombongan Tan Sri Musa Aman berjumpa Tuan Yang Terutama oleh kerana DUN sudah dibubarkan pada pagi 30 Julai, maka Tun tidak memperkenankan rombongan itu masuk ke Istana Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan apa yang berlaku pada 30 Julai lalu bagi menyangkal dakwaan dibuat Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, berhubung pembubaran DUN dan cubaan Musa masuk ke Istana bagi menunjukkan sokongan diterimanya.

Abinan berkata, Juhar amat kesal dengan laporan tidak benar yang tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp mengaitkan beliau.

“Tuan Yang Terutama mengingatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita palsu di internet atau media sosial serta berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu keharmonian rakyat.

“Tuan Yang Terutama menyeru rakyat Sabah terus bersatu hati dan mengekalkan keharmonian rakyat negeri sabah yang hidup aman damai dalam pelbagai kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Sebelum pembubaran DUN 30 Julai lalu, Musa mendakwa menerima sokongan mencukupi daripada Adun yang meninggalkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menubuh kerajaan baharu dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal lebih awal menemui Juhar dan memohon pembubaran DUN sebelum diperkenan dan diumumkan Mohd Shafie pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pada pagi 30 Julai lalu.