Saringan secara rawak diperluas, ujian di pintu masuk Sabah mungkin dikuat kuasa

Saringan secara rawak diperluas, ujian di pintu masuk Sabah mungkin dikuat kuasa

[Covid-19] Kerajaan Sabah memutuskan supaya saringan Covid-19 secara rawak diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya berdasarkan golongan yang dikenal pasti.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jika perlu, ujian saringan Covid-19 di pintu masuk melalui udara, laut dan darat ke Sabah dikuat kuasakan semula.

Ia antara enam langkah diputuskan kerajaan negeri melalui Command Centre Covid-19 Sabah berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan pandemik itu beberapa hari lalu.

Selebihnya, kerajaan negeri menggesa pihak berwajib meningkatkan penguat kuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa, selain mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Kerajaan negeri turut menasihatkan supaya amalan kerap mencuci tangan dengan sabun atau pembersih tangan serta penjarakan fizikal ditingkatkan.

Mohd Shafie berkata, pengusaha premis perniagaan hendaklah menghadkan bilangan pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa, bergantung saiz ruang.

“Laluan masuk dan keluar perlu berasingan. Saringan kesihatan di setiap pintu masuk premis perlu diperketatkan,” katanya.

Beliau turut menekankan supaya kehadiran dalam majlis sosial dan rasmi dihadkan kepada 150 orang, bagi tempoh maksimum tiga jam sahaja, manakala hidangan makanan dibuat secara bungkus atau dihidangkan oleh pramusaji.

Semua pemilik atau pengusaha premis, katanya diingatkan agar kerap melaksanakan proses nyah kuman.

Analisa terhadap statistik penularan pandemik Covid-19 di Sabah menunjukkan peningkatan kes yang mendadak bermula pada 24 Julai lalu.

Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan bilangan kumulatif kes positif Covid-19 pada 25 Julai adalah 384 kes dan meningkat sebanyak 18 kes kepada 402 kes pada 4 Ogos.

Bilangan kes positif Covid-19 yang masih dirawat di hospital untuk tempoh itu meningkat empat kali ganda iaitu daripada empat kes kepada 16 kes.

Mohd Shafie, berkata kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes positif itu dan bimbang penularan pandemik akan terus meningkat jika tindakan kawalan tidak diperketatkan.