Sivagangga: ‘Frontliners’ terharu penduduk doa kesejahteraan

Sivagangga: ‘Frontliners’ terharu penduduk doa kesejahteraan

Pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap di Kedah mengakui tidak pernah lelah dan jemu menjalankan saringan Covid-19 ke atas penduduk.

Pasukan itu yang berkampung di Kampung Ulu Padang Sanai, Padang Terap bertugas bagi mengenal pasti penduduk yang kemungkinan dijangkiti.

Menerusi hantaran di Facebook Unit Promosi Kesihatan Padang Terap, pasukan petugas kesihatan terbabit memaklumkan mereka tidak jemu dan lelah kerana masyarakat kampung memberi kerjasama yang sangat baik.

“Masyarakat hadir mengikut ketetapan malah mendoakan kesejahteraan barisan hadapan agar kami tidak rebah semasa menjalankan tugas. Terima kasih orang kampung.”

Seterusnya mereka mengingatkan penduduk supaya tidak keluar dari zon merah yang telah ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Segala urusan hanya melalui ketua keluarga masing masing yang akan diberi gelang kebenaran khas.

“Kepada barisan hadapan, terus cekal dan gagah. Ingatlah moto kita: ‘Kami Sedia Membantu’, ‘Kesihatan Anda Adalah Keutamaan Kami’.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan PKPD Pentadbiran di empat mukim di Kedah, susulan penularan Covid-19 daripada Kluster Sivagangga.

Ia dilaksanakan di radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh yang mana Kampung Ulu, Padang Sanai turut terlibat.




Kredit: Unit Promosi Kesihatan Padang Terap