Sukar tangkap Jho Low tanpa kerjasama Hong Kong, Macau

Sukar tangkap Jho Low tanpa kerjasama Hong Kong, Macau

Selagi pihak berkuasa di Hong Kong atau Macau kurang memberi kerjasama, adalah mustahil untuk menentukan bila Suspek utama mendalangi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low dapat ditangkap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihak berkuasa di Hong Kong dan Macau enggan memberi maklum balas langsung ketika diminta memberi kenyataan berhubung individu dikehendaki di negara terbabit.

“Namun, kami tidak akan berhenti. Kami akan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya dalam satu temubual bersama AFP.

Minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan Jho Low dipercayai bersembunyi di Macau, namun Beijing menafikannya dan menegaskan mereka tidak menyembunyikan penjenayah antarabangsa.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata seorang wanita yang ditahan tahun ini didapati kerap menghantar dokumen kepada Jho Low di Macau, dan pihak berkuasa menyimpulkan ahli perniagaan dalam buruan itu berada di sana.

Katanya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International yang juga sebahagian daripada 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, dipercayai berada di Hong Kong manakala seorang lagi bekas pegawai dana itu, Jasmine Loo, dipercayai berada di Shenzhen, China.

Sehubungan itu, Abdul Hamid menggesa pihak berkuasa negara terbabit membantu memburu mereka yang dikehendaki.

“Jho Low hampir bebas menjalankan urusannya di Macau dan kami memohon bantuan pihak berkuasa negara itu.

“Kami mahu pihak berkuasa negara itu, polis di Macau untuk bertindak secara bertanggungjawab. Tidakkah pihak berkuasa di Macau memiliki naluri polis untuk membantu kami,” katanya.

Aset bernilai berbilion ringgit dicuri daripada 1MDB dan digunakan untuk membeli pelbagai barangan, daripada hasil seni sehinggalah aset hartanah.

Jho Low, ahli kewangan yang dikenali suka berhibur dengan selebriti terkemuka Hollywood, didakwa dalang utama skandal berkenaan.