Suspek kes bunuh pensyarah disambung reman 6 hari

Suspek kes bunuh pensyarah disambung reman 6 hari

[Jenayah] Suspek kes pembunuhan pensyarah yang ditemui mati dalam kereta di Tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Sepang pada 29 Julai lalu, disambung reman enam hari lagi.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman di Mahkamah Sepang bermula esok hingga Rabu ini.

Suspek berumur 41 tahun merupakan suami kepada mangsa.

Dia sebelum ini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bermula 31 Julai lalu dan berakhir hari ini.

Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu disyaki melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana di Sepang.

Menurut laporan Harian Metro, lelaki terbabit yang berpakaian lokap ungu dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sepang pada jam 9.50 pagi dan diiringi anggota polis.

Mangsa dipercayai dijerut lehernya dengan tudung oleh suspek, yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian.

Malah, suspek berpura-pura mencari isterinya itu bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya, menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Suspek kemudian mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi talian kecemasan 999.