Thailand benar jual ganja bagi perubatan

Thailand benar jual ganja bagi perubatan

[Dunia] Kabinet Thailand meluluskan pindaan Akta Narkotik untuk membenarkan pengeluaran dan penjualan ganja bagi kegunaan perubatan secara swasta, menurut kenyataan rasmi kerajaan.

Memetik laporan Agensi, kebenaran bagi daun yang secara tradisi digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dan keletihan itu menjadikan Thailand negara Asia Tenggara pertama membenarkan penggunaannya bagi tujuan perubatan.

Sebelum ini pada pada 2017, Thailand membenarkan penggunaannya untuk tujuan penyelidikan perubatan, namun hanya kerajaan dibenarkan menanam tanaman itu.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul, berkata keputusan Kabinet meluluskan cadangan pindaan itu akan membolehkan pesakit, ahli perniagaan dan profesional perubatan menghasil, mengeksport, mengimport dan menjual daun itu.

Menteri Kesihatan Masyarakat, Anutin Charnvirakul, pula berkata undang-undang itu akan menggalakkan industri farmasi dan meningkatkan daya saing yang penting bagi Thailand untuk menjadi peneraju perubatan ganja.

Thailand sudah mengeluarkan ekstrak ganja dari senarai bahan narkotik dan membuka klinik perubatan berasaskan ganja.

Namun, ganja masih tersenarai di bawah lima kategori dadah mengikut undang-undang Thailand, yang mana pemilikan haram boleh dihukum penjara hingga 15 tahun dan denda hingga 1.5 juta baht (RM200,000).

Pindaan itu akan dirujuk untuk semakan undang-undang sebelum dibawa ke Parlimen Thailand.

Biarpun negara dari Colombia hingga Kanada sudah membenarkan ganja bagi perubatan atau rekreasi, ia masih diharamkan di kebanyakan negara Asia Tenggara dengan hukuman paling berat di dunia.

Pengedar ganja boleh dikenakan hukuman mati di Singapura, Indonesia dan Malaysia.