10 individu positif Covid-19, TEMCO mungkin dilaksana di 2 kampung

10 individu positif Covid-19, TEMCO mungkin dilaksana di 2 kampung

Fitri Nizam

[Covid-19]
Dua perkampungan di Perlis dicadang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) selepas 10 individu disahkan positif wabak Covid-19, hari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata cadangan itu diketengahkan pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis yang dihadirinya pagi tadi.

Katanya, 10 individu terbabit adalah keluarga terdekat mangsa Covid-19 di Sanglang yang disahkan positif sebelum ini.

“Antara perakuan yang dicadangkan kepada Urusetia MKN Pusat untuk dilaksanakan ialah mengistiharkan dua kampung di Sanglang, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berada di bawah TEMCO serta-merta.

“Saya juga menyambut baik dan menyantuni komen, pandangan dan cadangan yang diberikan netizen sebagai respon kepada hantaran saya yang awal berhubung kes covid-19 di Perlis awal pagi tadi.

“Cadangan yang baik akan saya perakukan untuk pertimbangan pihak Pusat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan meningkatkan penguat kuasaan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi rakyat.

“Apa yang penting sekarang ialah supaya setiap rakyat patuh sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan. Hanya kita yang boleh jaga diri kita sendiri,” katanya.

Penambahan 10 kes terbabit menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Perlis kini sebanyak 30 kes.