17 Ogos keputusan permohonan semakan kehakiman bubar DUN

17 Ogos keputusan permohonan semakan kehakiman bubar DUN

[PRN Sabah] Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan pada 17 Ogos ini sama ada membenarkan atau tidak semakan kehakiman bagi mencabar keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Leornad David Shin yang mendengar permohonan difailkan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 penyandang kerusi DUN itu akan membuat klarifikasi akhir berhubung perkara itu daripada semua pihak sebelum membuat penghakiman.

Hari ini, Leonard mendengar hujahan lisan oleh Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Musa dan 32 yang lain dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Permohonan semakan itu dibuat Musa bersama 32 penyandang DUN yang menyokongnya dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), akhir bulan lalu.

Ia difailkan firma guaman FT Ahmad and Co di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Semakan itu bertujuan mendapatkan injunksi berhubung pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  kepada Juhar bagi meminta pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Peguam mewakili Musa dan 32  yang membangkitkan isu bahawa Juhar tidak membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 21(2) dan Perkara 7(1) berkaitan ketua menteri hilang sokongan majoriti.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Mohd Shafie, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.