Awal, Scha bakal timang anak kedua

Awal, Scha bakal timang anak kedua

Nurul Huda Abhar

Hadiah paling istimewa untuk pelakon dan pengacara, Awal Ashaari pada ulang tahun kelahiran ke-39 apabila mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Isterinya yang juga pelakon terkenal, Scha Alyahya kini sedang hamil empat bulan.

Awal menyatakan tiada hadiah yang lebih bermakna pada sambutan hari lahirnya dengan berkongsi berita gembira tersebut bersama peminat.

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

“Tidak ada hadiah yang lebih bermakna dihari lahir saya selain daripada berkongsi kegembiraan ini dengan semua,” tulisnya dalam laman Instagramnya semalam.

Bekas pengacara program Melodi tersebut juga memohon peminat mendoakan kesihatan isteri dan anaknya di dalam kandungan.

“Doakan Mommy (Scha) dan bayi dalam kandungan sihat dan dapat menjalani proses kehamilan dengan sempurna. 

“Syukur ya Allah atas rezeki ini dan doakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” katanya.

Dalam masa sama, Lara Alana, anak perempuan sulung pasangan tersebut turut berkongsi berita gembira tersebut bersama peminat di Instagramnya.

Lara menerusi satu video sangat teruja apabila memberitahu ibunya kini hamil.

“Mummy sedang hamil. Saya bakal menjadi kakak kepada adik saya nanti, insya Allah. 

“Saya akan menjaga adik lelaki saya nanti. Doakan keselamatan Mummy,” katanya sambil memegang kit ujian kehamilan.

Lara juga ada menyebut tentang adik lelaki dalam video tersebut namun Awal masih tidak mengesahkan jantina anak yang bakal lahir.

Scha juga turut membuat hantaran di Insta Story mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah daripada para peminat dan meminta maaf kerana tidak dapat memberi respon.

“Terima kasih atas ucapan dan doa dari anda semua. Allhamdulillah kami sangat bersyukur.

“Maaf saya tidak memeriksa telefon dan tidak memberitahu apa-apa berita kerana buat masa kini saya sangat bencikan telefon,” tulisnya.