Heret TYT ke mahkamah perbuatan biadab

Heret TYT ke mahkamah perbuatan biadab

Thaddius Unnip

[PRN Sabah] Tindakan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bersama kumpulannya mengheret Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin ke mahkamah berhubung keputusannya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), disifatkan biadab dan tidak menghormati kuasa Perlembagaan Negeri.

Ahli Dewan Negara, Senator Adrian Lasimbang, berkata berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah mempunyai kuasa mutlak untuk melantik ketua menteri dan membubarkan DUN atas nasihat ketua menteri.

“Tindakan mereka langsung tidak hormat peranan dan kuasa yang ada pada TYT dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah.

“TYT dan Istana Negeri adalah hierarki tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri dan ia memegang martabat serta kedaulatan undang-undang negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, tindakan Musa dan kumpulannya bukan saja menunjukkan mereka tidak percaya terhadap kewibawaan TYT, malah mempersoalkan kemampuan Tun Juhar membuat keputusan terbaik untuk rakyat Sabah.

Selain itu, jelasnya tindakan mengheret TYT ke mahkamah bukan saja mempersoal kuasa TYT dalam perlembagaan Sabah, malah menarik sistem kehakiman negara ke kancah krisis perlembagaan.

“Tindakan mereka bersifat angkuh dan pentingkan diri sendiri. Mungkin kerana Musa mempunyai sumber kewangan sangat besar yang memberi beliau perasaan boleh berbuat apa saja demi mencapai cita-cita peribadi tanpa peduli kepentingan rakyat dan negeri.

“Inikah jenis pemimpin yang kita mahu beri kepercayaan menerajui Sabah? Mereka memporak perandakan kerajaan negeri dengan rancangan jahat mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang pada saat genting seperti sekarang ketika kita berdepan Covid-19,” katanya.

Malah, katanya rancangan jahat itu memberi tekanan kepada TYT untuk membuat keputusan sukar membubarkan DUN walaupun kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih ada tiga tahun untuk menerajui negeri.

“Mereka mengheret TYT hanya untuk menutup malu dan menunjukkan keengganan mereka mengambil tanggungjawap keruntuhan kerajaan akibat tindakan tidak beretika mereka yang membelakangi mandat rakyat,” katanya.

Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, berkata rakyat Sabah pandai menilai siapa yang menderhaka terhadap TYT dan akan menghukum mereka di kotak undi.

Musa bersama 32 penyandang kerusi DUN Sabah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Isnin lalu berhubung keputusan membubarkan DUN oleh TYT pada 30 Julai lalu.

Kumpulan diketuai Musa sebelum ini mendakwa memiliki majoriti mudah dalam DUN untuk mengambil alih kerajaan daripada Warisan, namun gagal selepas TYT memperkenankan pembubaran DUN atas permintaan Ketua Menteri.