Khairy: Kemuka hujah dan buktikan Guan Eng tak bersalah

Khairy: Kemuka hujah dan buktikan Guan Eng tak bersalah

Aiman Hanif

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan pemimpin DAP supaya tidak bermain dengan “kad simpati” berhubung pertuduhan dihadapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jika mereka yakin bahawa Guan Eng tidak bersalah, kemukakan saja hujah dan bukti di mahkamah.

“Kalau yakin tidak bersalah, kemukakan hujah dan bukti di mahkamah.

“Tidak perlu bermain dengan kad simpati dengan menghina proses undang-undang kononnya tidak bebas dan bermotifkan politik,” katanya Khairy dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pertuduhan ke atas anggota parlimen Bagan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Dalam pada itu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, tidak sampai 24 jam Guan Eng didakwa pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap badan kehakiman negara.

“Malah dalam saluran media rasmi DAP sendiri telah menyatakan kononnya ‘tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan’ oleh pihak pendakwaan. Ini sangat pelik sebab perbicaraan belum lagi bermula, baru di peringkat bacaan dakwaan.

“Tindakan DAP dan PH ini menunjukkan sekali lagi bagaimana sikap ‘double standard’ mereka terhadap perjalanan undang-undang negara.

“Apabila kena batang tubuh mereka, habis dihina sistem kehakiman negara. Sedangkan hanya pada minggu lalu, mereka sanjung mahkamah apabila keputusan kes melibatkan pemimpin Umno sesuai dengan kehendak mereka, ” kata Khairy lagi.