Mahkamah benar permohonan batal saman Dr M, 4 yang lain

Mahkamah benar permohonan batal saman Dr M, 4 yang lain

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga yang lain untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain, berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu, lapor Bernama.

Dr Mahathir sebelum ini mengemukakan saman terhadap Muhyiddin dan beberapa lagi memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak bertanding pada pemilihan parti.

Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.

Keahlian Dr Mahathir bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli dalam Bersatu tergugur kerana duduk di bangku pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.

Yang turut tergugur, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli MPT Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Berikutan itu, pencalonan Dr Mahathir bagi jawatan pengerusi, Mukhriz bagi jawatan timbalan presiden dan Syed Saddiq (Ketua Armada) untuk pemilihan Bersatu turut tergugur.