Penyelewengan TH: Azeez sedia debat dengan Mujahid 14 Ogos ini

Penyelewengan TH: Azeez sedia debat dengan Mujahid 14 Ogos ini

Muhammad Afiq

Bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Rahim memberi tarikh untuk “berdebat” dengan bekas menteri agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung isu penyelewengan TH 14 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, Abdul Azeez mencadangkan agar perdebatan antara mereka ditukar kepada muzakarah.

Beliau juga memohon Mujahid supaya tidak lagi mengaib dan menghinanya serta bekas pengurusan tertinggi TH sebelum ini.

“Maka saya telah mencadangkan tarikh 14 haribulan Ogos 2020, bersamaan 24 Zulhijjah 1441H untuk program tersebut diadakan.

“Namun, saya memohon kepada pihak penganjur agar menukar program tersebut kepada program ‘muzakarah’ berbanding program debat demi redha daripada Allah SWT.

“Saya menyarankan kami masing-masing mengeluarkan pendapat dengan ilmiah untuk dikongsikan ilmu-ilmu tersebut kepada orang ramai,” tulis beliau di Facebooknya.

Pada 22 Julai lalu, Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Abdul Azeez.

Mujahid juga bersetuju dengan syor Sinar Harian untuk menjadi penganjur debat berkenaan kedudukan TH yang sebelum ini menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada Sinar Harian kerana sudi mencadangkan platform yang bebas dan berkecuali demi menjayakan satu perdebatan yang bertamadun dan sihat.

“Saya ok….YB Baling ok?,” tulisnya menerusi ciapan di Twitternya.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata beliau berjanji tidak akan mengaib atau menghina Mujahid walaupun pemimpin Amanah itu berbuat demikian.

“Dan saya pohon pada YB Parit Buntar agar hentikan pengaiban dan hinaan kepada saya, bekas menteri dan pengurusan tertinggi TH. Malahan baru-baru ini pun kata-kata yang mengaibkan telah dikeluarkan dengan sengaja oleh beliau.

“Dan bertepatan dengan konsep “Rahmatan Lilalamin” yang sentiasa disebutkan oleh YB Parit Buntar maka di pihak kami tidak mungkin kami akan menghina, memalukan dan mengaibkan beliau sebagaimana nasib yang menimpa kami,” kata Abdul Azeez lagi.