Peristiwa ini telah dijangka, kata anak Guan Eng

Peristiwa ini telah dijangka, kata anak Guan Eng

Marcus Lim, anak bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng percaya pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas bapanya hari ini bermotifkan politik.

“Ayah saya telah ditahan pada malam tadi . Secara jujurnya, sejak keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan, peristiwa seperti ini telah pun dijangka akan berlaku.

“Rancangan mereka mudah, fitnah dan tangkap pemimpin yang enggan tunduk kepada taktik kotor.

“Motif mereka jelas, fitnah dan cemarkan DAP sebagai sebuah parti yang korup, untuk hancurkan PH sikit demi sikit.

“Jelas ini adalah dakwaan politik, dan tindakan ini amat menjijikan. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

SPRM akan menuduh Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, jam 9 pagi ini.

SPRM menerusi kenyataan malam tadi berkata pihaknya telah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menjalankan pendakwaan itu.

Bekas Menteri Kewangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau seterusnya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” kata SPRM.

SPRM berkata pihaknya turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos.