PRN Sabah: Jeffrey dakwa kenyataan Setiausaha Sulit TYT palsu

PRN Sabah: Jeffrey dakwa kenyataan Setiausaha Sulit TYT palsu

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mendakwa kenyataan yang dikatakan dikeluarkan Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, semalam adalah palsu.

Kenyataan Abinan Asli yang menafikan bahawa Juhar menerima 33 akuan bersumpah (SD) sebagai bukti sokongan diterima Tan Sri Musa Aman, pada akhir bulan lalu, katanya adalah bersifat subjudis.

“Pendirian kita mudah, perkara ini sekarang sudah dibawa ke mahkamah dan Tuan Yang Terutama (TYT), sebagai seorang bekas peguam, sepatutnya lebih tahu daripada mengeluarkan komen terhadap perkara yang sekarang menjadi subjudis.

“Saya fikir mereka berharap rakyat Sabah sangat jahil dan bodoh untuk mempercayai bahawa peristiwa yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku tanpa sebab yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Abinan mengeluarkan satu kenyataan bagi pihak Istana Negeri untuk memberi penjelasan apa yang berlaku pada 29 dan 30 Julai lalu bagi menjawab tuduhan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57, Datuk Zulkarnain Mahdar terhadap TYT.

Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, secara menyindir berkata musuh politik mereka mungkin beranggapan rakyat tidak mempercayai peristiwa yang berlaku sebelum pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

“Adakah mereka juga menjangka rakyat percaya bahawa pertemuan di antara TYT, Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Politik Perdana Menteri dan yang lain pada pagi 29 Julai bagi memaklumkan bahawa Musa sudah bersedia bertemu Tun Juhar untuk menyerahkan 33 SD dan permintaannya untuk melihat salinan asal SD terbabit tidak berlaku?

“Mungkin mereka juga mahu rakyat percaya bahawa sidang media Musa bersama 32 wakil rakyat yang menyokongnya pada petang 29 Julai yang disiarkan di semua akhbar dan televisyen adalah tidak signifikan dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atau TYT tidak mengetahuinya,” soalnya.

Jeffrey turut menjelaskan kronologi peristiwa pada 29 dan 30 Julai lalu yang membabitkan kumpulan Musa, termasuk permintaan TYT kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Arun) Balung, Datuk Osman Jamal yang mewakili 33 wakil rakyat untuk menyerahkan SD pada 30 Julai.

“TYT menyebut pada petang 29 Julai bahawa sudah terlalu lewat (menghantar SD) dan mencadangkan kepada Datuk Osman Jamal untuk menyerahkan pada keesokannya.

“Kita patuh dan Osman pergi ke Istana pada jam 9 pagi 30 Julai berkaitan perjumpaan untuk menyerahkan SD secara rasmi kepada TYT melalui Setiausaha Sulitnya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kedatangan Mohd Shafie ke Istana yang tiba beberapa minit lebih awal sebelum Osman untuk memohon pembubaran DUN pada pagi 30 Julai lalu adalah satu kebetulan.