PRN Sabah: Polis diminta siasat Zulkarnain kerana menghasut

PRN Sabah: Polis diminta siasat Zulkarnain kerana menghasut

Polis diminta menyiasat aktivis politik, Datuk Zulkarnain Mahdar mengikut Akta Hasutan 1948 kerana cuba menghasut rakyat membenci Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Putatan, Izzatul Aini, berkata kenyataan Zulkarnain dalam sidang media sebelum ini jelas berunsur hasutan selain penghinaan kerana membuat tuduhan liar terhadap Ketua Negeri.

Katanya, Akta Hasutan 1948 jelas menerangkan perbuatan atau percakapan yang berunsur menghasut rakyat untuk membenci Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Ketua Negeri adalah salah dan perlu dihukum.

“Istana Negeri juga menafikan tuduhan dilemparkan Zulkarnain dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat.

“Yang di-Pertua Negeri Sabah mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut perlembagaan, jadi sebagai rakyat, Zulkarnain sepatutnya tidak bertindak keterlaluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkarnain dalam sidang akhbar selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya kelmarin, menuduh Juhar menerima habuan daripada ketua menteri Sabah menyebabkan beliau setuju membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Izzatul mendakwa tuduhan itu dibuat bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Yang di-Pertua Negeri dan cuba menghalalkan tindakan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk menubuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Katanya, jika Zulkarnain mahu membuat laporan SPRM terhadap Juhar, ia adalah hak beliau, namun kenyataan yang dikeluarkannya selepas itu jelas sekali bernada hasutan.

“Tun Juhar bukan orang biasa tetapi simbol payung rakyat di bawah kerajaan Sabah. Mana nilai kesetiaan Zulkarnain sehingga sanggup menuduh dan menghasut rakyat membenci Yang di-Pertua Negeri.

“Pihak polis tidak boleh berdiam diri dalam hal ini, kami rakyat Sabah bangkit menentang sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi Istana Sabah.

“Akta Hasutan 1948 adalah jalan terbaik untuk menahan, mendakwa dan menghukum pengkhianat seperti Zulkarnain,” katanya.