Proses pendakwaan Guan Eng bermula

Proses pendakwaan Guan Eng bermula

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebentar tadi tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi pertuduhan kes projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Guan Eng ditahan di ibu pejabat SPRM malam tadi selepas dipanggil berhubung siasatan berkaitan kes berkenaan.

Antara yang hadir di mahkamah ialah bapanya yang juga pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

SPRM menerusi kenyataan malam tadi berkata pihaknya telah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menjalankan pendakwaan itu.

Bekas Menteri Kewangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau seterusnya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” kata SPRM.

SPRM berkata pihaknya turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos.