PRU15: PN, MN setuju Muhyiddin calon PM, satu lawan satu

Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersetuju untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi ciapan di Twitter beliau malam ini.

Gabungan berkenaan juga, kata Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memastikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Parti-parti komponen Perikatan Nasional termasuk Muafakat Nasional telah bersetuju:

1. Bertanding dua penjuru dalam pilihan raya akan datang.

2. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri,” tulisnya.

Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata tidak mustahil MN meraih majoriti dua pertiga dalam PRU15 jika bertembung satu lawan satu dengan pembangkang di semua kerusi.

Beliau dilaporkan berkata selagi dipersetujui semua parti dalam MN, pertandingan satu lawan satu akan membolehkan gabungan itu meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, malah tidak mustahil dua pertiga 148 kerusi.

Beliau berpendapat, Bersatu juga boleh memenangi PRU15 jika menyertai MN.

Sementara itu dalam ciapan berasingan, Abdul Hadi berkata beliau akan berjumpa dengan pemimpin PAS Sabah dalam masa terdekat bagi memuktamadkan isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya akan lihat laporan daripada Sabah dahulu. PAS pernah bertanding di Sabah, ada cawangan dan ada calon,” tulisnya.