Anwar sedia pertimbang penyertaan parti baharu Tun M

Anwar sedia pertimbang penyertaan parti baharu Tun M

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kesediaan Pakatan Harapan (PH) untuk menerima penyertaan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad jika ada permintaan.

Menurut presiden PKR itu, setakat ini belum ada sebarang permintaan daripada bekas pengerusi Bersatu itu.

“Dia tak minta pun…Sekiranya dia minta kita pertimbangkanlah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti baharu itu.

“Biar dia minta dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis jelajah presiden di Shah Alam, malam tadi.

Semalam Mahathir mengumumkan pembentukan parti Melayu dan peribumi baru bagi meneruskan perjuangan politiknya.

Jelas Mahathir parti itu tidak akan menyertai mana- mana kumpulan baik PH mahupun Perikatan Nasional (PN).

Katanya, parti itu mungkin tidak akan menang kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi boleh menjadi penentu dalam menentukan blok mana yang akan menang pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Anwar berkata memandangkan Mahathir baru mengumumkan penubuhan parti tersebut, ahli parlimen Port Dickson memilih untuk bersikap tunggu dan lihat.

“Tun baru nak umumkan nak tubuhkan parti baru kita tengoklah,” katanya.

Anwar juga enggan mengulas ketika ditanya sekiranya langkah penubuhan parti itu wajar dilakukan atau tidak.