Beri ruang skandal hartanah di Malbourne disiasat – Mara

Beri ruang skandal hartanah di Malbourne disiasat – Mara

Beri ruang kepada pihak berkuasa menyiasat skandal penjualan tanah di Melbourne, Australia kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) pada 2013, kata Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Mara, Azizah Mohd Dun berkata, sejak kes dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada pertengahan 2015, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mara dan Mara Inc telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang dilakukan.

“Mara juga amat menghargai keprihatinan orang ramai serta pihak media berhubung isu ini.

“Bagaimanapun saya menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pendakwaan mahkamah terhadap seorang individu yang dipercayai warga Malaysia pemastautin di berkenaan atas tuduhan merasuah pegawai Malaysia dan empat lagi pertuduhan berkaitan penjualan hartanah berkenaan.

Pada 5 Ogos lalu, portal The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa individu terbabit telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing (iaitu Malaysia) dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.

Boon Lye Teen, atau dikenali sebagai Dennis Teen, 68, dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2013 di Vermont South, Melbourne.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa di laman sosial Twitter beliau memuatnaik status rekod ketika pembelian berkenaan dibuat.

“Untuk rekod dan makluman, semasa pembelian dibuat Pengerusi Pelaburan Mara, YB (Yang Berhormat) Datuk Dr Yusof Yaakob (sekarang Menteri Sabah), Pengerusi Mara Inc, Datuk Lan Alani (dari Semporna Sabah), Mneteri jaga Mara Datuk Seri Shafie Afdhal (kini KM Sabah), Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh,” ringkasnya.