Covid-19: 7 kes baharu, tiada kematian

Covid-19: 7 kes baharu, tiada kematian

Nilam Oshman

[Covid-19]
Tujuh kes baharu positif dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia kini 9,070 setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 47 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,775 iaitu 96.8 peratus daripada keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 170 kes,” katanya hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya lagi, tiada pertambahan kematian dicatatkan dan jumlah kumulatif kekal sebanyak 125 kes.

Sementara itu, beliau menjelaskan daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan hari ini, enam kes adalah kes import.

“Terdapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

“Hanya satu kes penularan dalam negara yang melibatkan warga Malaysia, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

“Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan pulang ke Malaysia pada 7 Mei 2020. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar,” katanya.