DAP kutip derma bantu Guan Eng

DAP kutip derma bantu Guan Eng

DAP melancarkan tabung “Solidariti untuk Lim Guang Eng” bagi membantu melangsaikan pembayaran ikat jamin setiausaha agungnya itu yang berdepan pertuduhan berkait projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua memaklumkan, selain melunaskan bayaran jaminan tabung itu juga bertujuan membantu parti itu membayar semula wang dipinjam daripada penyokong mereka.

“Pihak pendakwaan meminta jaminan RM2 juta, dan mahkamah tetapkan sebanyak RM1 juta. Kami sudah bayar RM500,000 dengan wang yang dipinjam daripada para penyokong dan perlu bayar lagi RM500,000 kepada mahkamah Isnin ini.

“Sebarang lebihan daripada derma ini akan disalurkan untuk pilihan raya umum bagi melawan kerajaan pintu belakang dan mengembalikan mandat rakyat yang mengundi untuk melakukan perubahan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung projek terowong dasar laut berkenaan yang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau juga dijangka berdepan lagi dua pertuduhan pada 10 dan 11 Ogos ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.

Sementara itu, isterinya Betty Chew juga dijangka turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth minggu depan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam pada itu, Pua mendakwa ini bukanlah kali pertama Lim terpaksa berdepan pertuduhan palsu di mahkamah.