JPPM tiada masalah lulus parti baru Tun M, kata menteri KDN

JPPM tiada masalah lulus parti baru Tun M, kata menteri KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi jaminan tiada masalah bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan penubuhan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika ditemui media di Kota Kinabalu hari ini, Hamzah berkata tidak timbul isu mengenai perkara itu kerana setiap orang berhak menubuhkan parti.

“Kita mempunyai kira-kira 32 juta (penduduk) dan jika dibahagi, mungkin ada satu juta parti dengan satu parti memiliki 30 ahli… tidak ada masalah,” katanya dalam nada bergurau seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan untuk menubuhkan parti berasaskan orang Melayu yang bergerak bebas tanpa terikat dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti berkenaan dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Mengulas penubuhan parti baharu Dr Mahathir itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata ia sesuatu yang menarik.

“Dia (Mahathir) sebelum ini kata masalah orang Melayu adalah apabila anda ingin jadi presiden tetapi anda tidak boleh menang, maka itu akan membawa kepada pembentukan parti baru. Itu dia kata, bukan saya kata.

“Dengan pandangan seperti itu, dia masih ingin menubuhkan parti baharu, terserah kepadanya. Setiap orang berhak menubuhkan parti baru,” katanya.

Dalam majlis berasingan di Kota Kinabalu, Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penubuhan parti baharu itu diharap tidak menimbul perpecahan dalam kalangan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ini kerana telah banyak parti politik dalam negara, namun tetap menghormati amalan sistem demokrasi.

“Saya tidak mendapat maklumat mengenai keperluan mengadakan parti baharu tetapi sebagai menghormati amalan demokrasi di negara kita, individu atau kumpulan boleh menubuhkan parti masing-masing.

“Namun saya harap ini tidak menimbulkan perpecahan rakyat memandangkan jumlah parti yang ada di negara ini sudah agak banyak,” katanya.