Ketua Bersatu Klang pula keluar parti, sokong Tun M

Ketua Bersatu Klang pula keluar parti, sokong Tun M

Selepas Adun Jeram, kini giliran Ketua Bersatu Bahagian Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abdul Aziz pula mengumumkan keluar parti sekali gus pembubaran bahagian itu hari ini.

Sejurus itu, Syed Abdillah berkata beliau memohon menyertai parti baru yang ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami Bersatu Bahagian Klang, Selangor dengan ini sebulat suara memohon menjadi ahli parti baru ini.

“Dengan itu kami seluruh anggota Bersatu Bahagian Klang yang diketuai oleh saya sendiri secara sebulat suara hilang segala kepercayaan terhadap kepimpinan peringkat penaja Bersatu kami.

“Dan membuat keputusan untuk membubarkan Bahagian Bersatu Klang serta-merta,” katanya dalam sidang media petang ini.

Pagi tadi, Adun Jeram di Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar Bersatu dan menjadi wakil rakyat Bebas, serta menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir.

Turut didakwa berbuat demikian ialah jawatan kuasa bahagian, ketua-ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu bahagian Kuala Selangor.

Mohd Shaid menerusi kenyataan media berkata mereka berbuat demikian setelah merasakan perjuangan asal parti telah tersasar dari objektif asal penubuhannya iaitu melawan sebuah kerajaan kleptokrasi.

Kelmarin, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mengumumkan keluar Bersatu melalui surat kepada Setiausaha Kerja parti itu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan orang Melayu yang bergerak bebas tanpa terikat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti berkenaan dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.