Kit Siang: Menantu saya bukan Rosmah

Kit Siang: Menantu saya bukan Rosmah

Selepas menantunya Betty Chew berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, pemimpin DAP Lim Kit Siang mendakwa menantunya bukan Datin Seri Rosmah Mansor 2.0.

Ia merujuk kepada pertuduhan dan pendakwaan dihadapi isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Oleh itu, beliau merayu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya serta pihak berkuasa agar menggugurkan pertuduhan ke atas menantunya itu.

“Mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua Malaysia?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Veteran DAP itu berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya bertindak sedemikian rupa terhadap keluarganya.

“Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan,” katanya lagi.

Chew akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa depan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).

Dia disakwa terbabit dalam sebuah syarikat, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Pada tahun 2017, Chew dituduh merupakan pengarah syarikat berkenaan, bersama dengan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Phang sebelum ini didakwa dan dibebaskan berkaitan pembelian sebuah banglo oleh Guan Eng.

Secara sinis Kit Siang berkata, sekiranya rumah menantunya digeledah, pihak berkuasa tidak akan menjumpai 12,000 barangan kemas, 423 jam tangan mewah, 567 beg tangan daripada 72 jenama, 272 beg tangan Hermes atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang.

“Dengan ini saya membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty Chew,” katanya lagi.