Nenek Daler Yusof meninggal dunia akibat Covid-19

Nenek Daler Yusof meninggal dunia akibat Covid-19

Nurul Huda Abhar

Nenek lebih daripada seorang ibu kepada saya, kata Pelakon, Daler Yusof yang baru sahaja kehilangan nenek kesayangan akibat Covid-19 semalam.

Daler, 28, yang sedih menerima berita tersebut turut memuat-naik foto kenangan sambil mencium pipi neneknya di laman sosial Instagram.

Menurut Daler, neneknya menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Uzbekistan setelah berada dalam keadaan koma akibat jangkitan wabak Covid-19.

“Ibu saya sudah meninggal dunia semasa saya kecil. Jadi nenek menjadi ibu saya. Dia adalah semangat saya dan sampai bila-bila akan jadi sumber kekuatan saya.

“Saya mungkin tidak pernah merasa kasih ibu, tapi apa yang nenek beri selama ini tidak mungkin saya balas. Syukur kepada Allah,” katanya.

Tambahnya, setiap kejayaan dan apa yang diperoleh di negara ini adalah hasil doa daripada neneknya yang digelar “Ochajon”.

“Terima kasih atas semua jasa nenek selama ini. Moga kita berjumpa lagi dalam syurga. Salam sayang untuk kekasih hati Daler,” ujarnya.

Model dan pelakon drama Encik Suami Mat Salleh Celup itu pertama kali berhijrah ke Malaysia pada 2010 bagi menyambung pengajiannya.

Daler kemudian aktif menjayakan beberapa iklan tempatan dan kini memasuki dunia lakonan.