PKR mahu siasatan SPRM bebas motif politik

PKR mahu siasatan SPRM bebas motif politik

Fitri Nizam

PKR berpendapat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menyiasat apa saja tuduhan namun perlu memastikan ia bukan bermotifkan politik atau penganiayaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kes membabitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu berbeza dengan yang dilalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tidak boleh disamakan.

“Kes Datuk Seri Najib Razak juga kita lihat melalui fakta dan undang-undang. Guan Eng belum dihukum. Jadi usah samakan dengan kes beliau,” katanya menerusi laman sosial Facebook, malam tadi.

Untuk rekod, Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu, dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Anwar berkata, beliau tidak membangkitkan perkara itu kerana Guan Eng adalah sahabatnya namun sebaliknya PKR atau Pakatan Harapan (PH) tidak boleh berdiam diri.

“Kita akan teliti dan pantau kes ini secara dekat.

“PKR dan PH berpendirian menolak cara pendakwaan yang tidak telus dan ditafsirkan sebagai menekan musuh politik.

“Suami dihadapkan ke mahkamah, isteri pula yang ditahan. Seandainya berkuasa usah sehingga hilang tonggak keadilan dan kemanusiaan,” katanya.

Terdahulu Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.