PRU15: Tok Mat ganti Khairy di Rembau

PRU15: Tok Mat ganti Khairy di Rembau

Aiman Hanif

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini secara terbuka memaklumkan yang beliau akan menggantikan Khairy Jamaluddin di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat itu sekali gus menyaksikan Menteri Sains dan Teknologi akan beralih ke kawasan baharu.

“Saya kena pergi pusat dan besar kemungkinannya nanti, PRU15 ini saya akan menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen di Rembau.

“Disebabkan dua orang dari satu tempat, kita kena berpecah ke kawasan yang lain.

“Saya pula tak tahu nak pergi ke mana, ini kawasan saya dan sebagai Ketua Bahagian (Umno) saya menawarkan diri di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Sri Kota di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ketua Umno Cawangan Sri Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said membentangkan usul tergempar mencadangkan agar Mohamad bertanding mempertahankan kerusi BN di Parlimen Rembau dalam PRU15 nanti.

Untuk rekod Parlimen Rembau telah dimenangi Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, tiga penggal berturut-turut.

Bagaimanapun Tok Mat memberi jaminan bahawa Khairy akan diberikan kerusi yang boleh menjamin kemenangannya dalam PRU akan datang.

Hasrat Tok Mat untuk bertanding di kerusi Parlimen bukan lagi rahsia, malah beliau pernah menyatakan perkara itu dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysia Post baru-baru ini.

Khairy pula disebut akan bertanding kerusi Parlimen Tampin yang juga kerusi tradisi Umno dan boleh dianggap sebagai “kerusi selamat”.

Sebelum ini, kerusi berkenaan ditandingi Datuk Seri Shaziman Abu Mansor mewakili BN.

Bagaimanapun kerusi itu jatuh ke tangan Amanah pada PRU14 lalu dalam pertembungan tiga penjuru.