Takiyuddin: Hati-hati jangan sampai hina mahkamah

Takiyuddin: Hati-hati jangan sampai hina mahkamah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Parlimen, Datuk Takiyuddin Hassan mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengulas keputusan yang dibuat mahkamah.

Beliau berkata, keterlaluan mengulas keputusan ataupun perbicaraan di mahkamah termasuk kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bimbang ia perbuatan menghina mahkamah.

“Ini boleh menjadi penghinaan kepada mahkamah. Malah jika sesuatu kes yang masih berjalan di mahkamah dan disebut di parlimen, ia akan jadi subjudis.

“Jadi ia merupakan satu ingatan kepada masyarakat umum untuk lebih berhati-hati ketika memberikan sebarang komen,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion itu.

Selain itu, beliau turut dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada Pengarah Kanan Eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn.Bhd., Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.