Tangan, kepala tersepit acuan, pekerja kilang maut

Tangan, kepala tersepit acuan, pekerja kilang maut

Pekerja kilang maut selepas tangan dan kepalanya tersepit pada mesin membuat acuan di sebuah kilang di Jalan Bukit Gedung, Bayan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, insiden berlaku kira-kira jam 4 pagi menyebabkan Zaid Berahim, 33, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang pekerja kilang tersepit pada mesin membuat acuan sebelum bergegas ke lokasi dan menjalankan kerja menyelamat mangsa,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di kilang berkenaan untuk membantu operasi menyelamatkan pekerja terbabit.

“Operasi menyelamat pada jam 6.32 pagi dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.