1 pergi 3 mari nak beli TRW

1 pergi 3 mari nak beli TRW

Umpama pisang goreng panas, itu situasi terkini pasukan Kelantan sebaik Wan Kamal Wan Napi menarik diri untuk membeli skuad The Red Warriors (TRW) apabila tampil tiga calon baharu untuk bersaing mendapatkan pasukan itu.

Daripada tiga calon berkenaan, satu daripadanya usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Perkembangan terbaharu itu nyata melegakan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang kini bergelut mencari pembeli untuk membantu meringankan beban pasukan, sekali gus melengkapkan proses penswastaan pasukan itu.

Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman berkata, tiga calon baharu menghubungi Kafa dan menyatakan minat membeli pasukan Kelantan seperti nilai ditetapkan sebelum ini.

“Betul, memang ada tiga pihak menyatakan minat kepada kami. Selepas Wan Kamal, nampaknya ramai juga berminat nak membeli pasukan.

“Kami akan berunding dengan mereka dan syarat pembelian sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Jelasnya lagi, isu royalti dibangkitkan Wan Kamal berkenaan campur tangan pihak Kafa dalam pengurusan pasukan tidak tepat kerana pemilik baharu ada kuasa penuh kepada pasukan.

“Sebab itu kita nak cari pembeli apabila pemilik baru itu ada 100 peratus saham dalam pasukan. Bayaran royalti itu hanya untuk Kafa bergerak melakukan pembangunan bola sepak di peringkat negeri.

“Jika nilai RM1 juta setahun itu tinggi, kami boleh bincang lagi. Sekarang kami terbuka untuk berbincang dengan pembeli lain demi kebaikan pasukan dan pemilik baharu,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau tetap berharap Wan Kamal dapat membuat pusingan U dan memikirkan semula keputusannya itu.

Pada mesyuarat khas Rabu lalu, Kafa menetapkan tanda harga RM3 juta buat mana-mana pihak yang berhasrat membeli Kelantan FC serta bayaran royalti RM1 juta setahun.

Selain itu, keuntungan jualan tiket perlawanan, jersi, cenderamata dan geran tahunan Liga Malaysia adalah hak pemilik pasukan.