Berita palsu, pegawai khas Pak Lah akan lapor polis

Berita palsu, pegawai khas Pak Lah akan lapor polis

Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas Perdana Menteri itu.

Jefridin berkata, beliau memandang serius mesej tular itu dan akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, esok.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat.

“Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.

“Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini,” katanya seperti dilapor FMT.

Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai berkata, beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.

“Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari. Saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian,” katanya.

Hari ini, sekali lagi berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.

Pada 2 Ogos lalu, mesej sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin yang mewakili pejabat bekas perdana menteri itu menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan beliau dengan berkata Pak Lah berada dalam keadaan sihat.

Abdullah, 81, adalah perdana menteri Malaysia ke-5 dari 2003 hingga 2009.