Bersatu Langkawi lumpuh, 22 AJK letak jawatan

Bersatu Langkawi lumpuh, 22 AJK letak jawatan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi lumpuh ekoran 22 ahli jawatan kuasa (AJK) parti itu umum letak jawatan.

Kesemua mereka turut mengumumkan akan menyertai parti yang baru ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Bahagiannya, Shukor Bahari, berkata peletakan jawatan dan keluar parti beramai-ramai itu berkuat kuasa serta-merta.

“Selain saya, turut meletak jawatan ialah Setiausaha, Azlina Mansor, Bendahari, Jamari Mahtar dan Ketua Penerangan, Zamree Yahya.

“Sebahagian besar ahli jawatankuasa letak jawatan kerana kami nekad terus berjuang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi seperti dilapor Harian Metro.

Shukor berkata, pihaknya kesal apabila pemimpin tertinggi Bersatu sanggup mengkhianati perjuangan asal parti dan bersekongkol dengan musuh.

“Kami keluar dengan disaluti prinsip dan maruah serta tidak tunduk pada sogokan dan tawaran kuasa sebagai ganjaran,” katanya.

Jumaat lepas, Dr Mahathir menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah lagi parti baharu yang berteraskan Melayu dan bumiputera.

Namun, sehingga kini parti yang ditubuhkan bersama lima bekas pimpinan parti Bersatu itu masih belum diberikan nama.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dinamakan sebagai presiden sementara parti yang bakal ditubuhkan itu.