Bersatu nafikan pembubaran bahagian Bangi

Bersatu nafikan pembubaran bahagian Bangi

Nurul Huda Abhar

Bersatu bahagian Bangi menafikan dakwaan bahagian tersebut dibubarkan seperti yang tular semalam.

Timbalan ketua bahagiannya, Md Samsudin Zakaria berkata, Bersatu Bangi tidak dibubarkan dan tidak akan terbubar.

Katanya, ia tidak akan berubah walaupun ketua bahagian dan sebahagian besar Jawatan kuasa Pimpinan Bahagian mungkin mengambil langkah keluar beramai-ramai daripada parti Bersatu.

“Perlembagaan Parti (Pindaan 2019) menyebut dengan jelas bahawa parti boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per empat (3/4) ahli parti yang layak hadir dalam satu Persidangan Perhimpunan Agung Khas.

“Oleh yang demikian desas desus yang mengatakan Bersatu Bahagian Bangi akan dibubarkan adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penafian tersebut disokong Ketua Armada Bersatu Bahagian Bangi, Khidir Jamil yang menyatakan mereka sedang diuji dengan kehilangan ahli dan cubaan mensabotaj menggunakan ayat “bubar bahagian”.

Menurutnya tidak mungkin pembubaran berlaku kerana masih ada 800 keahlian dan enam cawangan dalam bahagian itu.

“Kita masih ada timbalan ketua bahagian dan ahli jawatan kuasa (AJK) yang setia bersama parti, pengisytiharaan yang konon bakal dibuat hari ini tidak mewakili keseluruhan ahli bahagian,” katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin Bersatu Bangi memanggil satu sidang media bagi memaklumkan pembubaran bahagian itu di Bangi Golf Resort, jam 5 petang ini.