Covid-19: 13 kes baru, tiada kematian

Covid-19: 13 kes baru, tiada kematian

[Covid-19] Sebanyak 13 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 Malaysia kini 9,083 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini ialah 174 kes dengan kesemua mereka telah diasin9gkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata daripada 13 kes baharu dilaporkan, sembilan adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan lima warganegara dan empat bukan warganegara.

“Kesemua empat kes penularan di dalam negara adalah warganegara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata perincian bagi kes penularan dalam negara adalah tiga kes di Pulau Pinang iaitu dua kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Kurau.

“Satu lagi kes positif dalam negara hari ini ialah daripada Kluster Meranti di Putrajaya,” katanya.

Katanya, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 125 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.