Giliran Abu Hafiz tinggalkan Bersatu, sertai Mahathir

Giliran Abu Hafiz tinggalkan Bersatu, sertai Mahathir

Muhammad Mustakim Ramli

Selepas dua hari Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bakal menubuhkan sebuah parti baharu, seorang demi seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan hasrat menyertai parti yang belum mempunyai nama itu.

Terbaru, exco Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan meninggalkan Bersatu bagi menyokong parti baru yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Hafiz mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam Bersatu, termasuk exco Armada, Ketua Armada Bahagian Wangsa Maju, dan Ketua Armada Cawangan Teratai Mewah.

“InshaAllah langkah politik baru bersama YB Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan lain akan menyusul dengan penuh harapan serta doa tawakkal kepada Allah SWT.

“Semoga Bersatu kembali memperjuangkan objektif asal ketika ia ditubuhkan bagi melawan kleptokrasi dan memenuhi aspirasi perjuangan Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, turut mengumumkan keluar parti adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,Ulya Aqamah Husamudin.

“Saya secara hormatnya melepaskan semua jawatan saya di peringkat Nasional dan Bahagian Pokok Sena. Terimakasih diucapkan kepada semua yang telah memberi tunjuk ajar dan peluang untuk saya berkhidmat.

“Saya berharap Bersatu menilai kembali asas perjuangan asal dan kembali kepada objektif penubuhan parti,” katanya.

Setakat ini, antara yang meninggalkan Bersatu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli, dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin, Tariq Ismail Mustafa dan Abu Bakar Yahya.

Sebelum itu, antara bekas pemimpin Bersatu yang turut Bersama Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.