Judi Sungai Buloh: Patut polis hantar bunga pada saya – Asri

Judi Sungai Buloh: Patut polis hantar bunga pada saya – Asri

Muhammad Afiq

“Asri Janggut” ataupun nama sebenarnya Mohd Asri Hamid tampil meluahkan rasa kecewa apabila polis sendiri membuat laporan polis terhadapnya berhubung dua klip video pendedahan pusat judi dan premis perniagaan warga asing di Sungai Buloh yang ditonton lebih sejuta warganet.

Pengasas Hot Burger itu berkata, pihak polis sepatutnya berterima kasih dan memberi bunga kepadanya kerana pendedahan berani itu.

“Polis buat ‘report’ kepada saya mengatakan saya buat tohmahan…ini bukan tohmahan ini cerita betul.

“Sepatutnya ketua polis tu hubungi saya ucap terima kasih, hantar bunga kepada saya, sepatutnya begitu. Sebab saya sudah bagi maklumat.

“Sebenarnya begini, ini bukan benda baru,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebook Hot Burger, petang tadi.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan pemilik video berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” katanya pada sidang media, hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan maklumat berkenaan sepasukan polis membuat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan.

“Dalam serbuan berkenaan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114.

“Manakala lima lagi serbuan di tempat berlainan mendapati premis berkenaan tidak beroperasi, jelas ia adalah tohmahan,” katanya.

Dalam pada itu Asri mempertahankan pendedahannya dan mendakwa banyak pusat judi haram beroperasi di kawasan Sungai Buloh.

“Pada masa itu saya nampak dengan mata saya sendiri kedai mesin (judi) masih beroperasi sampai jam 1 pagi, sampai pukul 2, sampai pukul 3 pagi.

“Atas rasa tanggungjawab…saya buat laporan kepada Bukit Aman,” jelasnya lagi.

Dakwa Asri dia membuat laporan polis serta memberikan bukti termasuk rakaman video kepada pihak atasan polis.

Kredit Foto: Malakat Tribune