PRK Slim: BN umum calon Rabu ini

PRK Slim: BN umum calon Rabu ini

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Rabu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengundi di DUN itu akan menikmati kesinambungan khidmat terbaik seperti dicurahkan Adun terdahulu.

“Pengundi PRK Slim pasti akan menikmati kesinambungan khidmat terbaik Adun dulu, Allahyarham Datuk Khusairi Abdul Talib, jika mereka memilih calon BN kali ini.

“Pada 12 Ogos, BN akan umumkan calon untuk bertanding pada PRK DUN Slim. Kemenangan di DUN Slim akan memaparkan indikator terbaik pilihan pengundi di sini pada PRU15,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Slim hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno turut mengingatkan BN supaya jangan mengetepikan mana-mana pihak yang mahu membantu mereka nanti.

“Selesaikan segala pertelingkahan, santuni setiap perbezaan dan tumpukan persamaan untuk membela penduduk setempat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, 15 Julai lalu.

PRU14 pada 2018 menyaksikan Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.


Kredit Foto: Facebook Zahid Hamidi